Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) melancarkan Pertandingan Pelan Perniagaan yang menawarkan hadiah geran perniagaan sehingga RM2 juta khusus untuk belia luar bandar di seluruh negara.
Ketua Setiausahanya, Datuk Ibrahim Muhamad berkata, pertandingan terbuka kepada belia luar bandar berusia antara 18 hingga 40 tahun itu memberi peluang kepada peserta merealisasikan idea bernas dan diterjemahkan menjadi satu perniagaan yang berdaya saing.
“Pertandingan itu sebahagian strategi kementerian dalam usaha menggalakkan golongan muda membina peluang perniagaan sendiri apabila pulang ke kampung halaman.
“Program ini turut mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar seterusnya mengurangkan penghijrahan golongan muda ke bandar,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini semalam.
Pertandingan di bawah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) itu terbuka kepada penyertaan secara individu, berkumpulan atau Syarikat Enterprise (tunggal atau perkongsian) dan Syarikat Sdn Bhd..
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut termasuklah borang penyertaan di laman web www.rurallink.gov.my/rbc dan tarikh tutup penyertaan pada 3 Ogos 2012 ini.
Berminat? Dapatkan maklumat lanjut dan borang penyertaan daripada laman web ini : www.rurallink.gov.my/rbc
No comments:
Post a Comment